Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
HAMPIR 13 tahun mendamba diri menjadi anak seni, hampir kesemua penerbit filem atau drama cuba untuk menyunting penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza untuk berlakon di bawah produksi mereka.
Baik semasa masih lagi anak dara sehinggalah sudah menjadi isteri orang, mereka tetap tidak putus mencuba mahu Siti berlakon bersama mereka.
Bukan mudah untuk melembutkan hati biduanita muda negara ini untuk menonjolkan bakat lakonannya walaupun dia pernah beraksi di pentas teater menerusi pementasan P. Ramlee The Musical musim pertama tahun lalu.
Namun pun begitu, wanita berusia 29 tahun ini, tetap dengan pendiriannya bahawa hatinya belum terbuka untuk bergelar pelakon.
Beliau hanya akan menimbangkan seandainya watak yang diberikan kepadanya bersesuaian dengan imejnya serta skrip yang dirasakan mampu memberikan mesej yang berguna kepada penonton.
Apabila KRU Studios menawarkan watak Puteri Gunung Tahan kepada Siti untuk filem terbaru terbitan mereka, Magica yang akan menjalani penggambaran tahun hadapan, Siti menjelaskan, dia masih belum memutuskan memberikan sebarang jawapan.
"Tawaran yang diberikan oleh pihak KRU Studios itu memang menarik dan saya sendiri sudah membaca skripnya. Malah, mereka juga sudah memberitahu saya jalan ceritanya namun, saya belum lagi memberikan jawapan saya.
"Ini kerana saya harus memikirkan beberapa perkara sebelum saya mengambil keputusan untuk melibatkan diri dalam produksi ini.
"Seperti yang kita tahu, berlakon bukannya mudah kerana ia memerlukan waktu yang agak lama di lokasi.
"Bukan itu sahaja, apabila berlakon, ia memerlukan komitmen yang tinggi serta penumpuan yang menyeluruh dalam memberikan hasil yang terbaik," jelas Siti penuh hemah sewaktu ditemui pada majlis rumah terbukanya bersama peminat di Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur petang Ahad lalu.
Namun, satu yang pasti kata Siti, dia sudah menyatakan persetujuannya untuk terlibat dalam filem animasi arahan sutradara kreatif, Mamat Khalid berjudul Kelip-Kelip yang kini berada di peringkat pra produksi.
Bukan sekadar terlibat menyumbang suara untuk salah satu watak yang dicipta untuknya, malah Siti juga memberitahu, dia akan menyanyikan lagu tema filem tersebut.
"Melihatkan sedikit sedutan filem berkenaan membuatkan saya begitu teruja untuk mengatakan persetujuan saya terlibat dalam filem ini kerana ia lain daripada yang lain.
"Kelip-Kelip bukanlah filem animasi biasa tetapi ia merupakan filem animasi 3D seperti mana yang kita tonton menerusi filem A Bug's Life, Antz dan Bee Movie," katanya lagi.
Pemilik vokal Biarlah Rahsia dan Menanti Pasti ini juga menjelaskan, seandainya diberi peluang untuk berlakon, dia mahukan sesuatu yang mampu memberikan impak kepada penonton terutama dari segi jalan ceritanya yang mempunyai mesej yang berguna untuk diteladani.
Ditanya tentang penglibatannya dalam drama bersiri Spa Q musim kedua, isteri kepada usahawan ternama, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini menjelaskan, penampilannya dalam Spa Q 2 hanyalah sebagai pelakon undangan sahaja.
"Berkemungkinan besar, seandainya berjalan lancar, saya juga akan menyanyikan lagu tema untuk drama bersiri berkenaan," jelas penyanyi lagu Ku Mahu ini yang telah menjadi lagu tema Spa Q musim pertama.
Melihatkan sosok tubuh si cantik manis ini yang kelihatan susut sejak akhir-akhir ini, Siti menjelaskan ia merupakan inisiatif daripada berdiet dalam usaha untuk memperbaiki staminanya.
"Saya berdiet sejak daripada sebelum Ramadan lagi dan setakat ini, berat badan saya dalam lingkungan 56 kilogram.
"Saya kena jaga pemakanan saya dalam untuk terus berada dalam lingkungan itu agar saya dapat memiliki stamina yang baik sebelum masuk studio tidak berapa lama lagi," jelasnya lagi.
Berbicara tentang pembikinan album terbarunya yang berkonsepkan kontemporari tradisional itu, penyandang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) sembilan kali ini menjelaskan, beberapa komposer yang terlibat sudah pun menyiapkan muziknya.
"Saya juga sudah mendengarkan muzik yang telah disiapkan itu dan jika tiada aral melintang, saya akan memasuki studio pada akhir bulan ini atau sewal bulan hadapan.
"Seandainya semua berjalan lancar, album ini akan dipasarkan sebelum atau pada penghujung tahun ini," ujarnya yang kali terakhir muncul dengan album studio, Hadiah Daripada Hati tahun lalu.
Berbicara tentang rumah terbukanya bersama peminatnya yang menganggotai SitiZone itu, Siti tidak menyembunyikan rasa terujanya apabila dapat mengumpulkan peminat setianya yang tidak pernah henti menyokongnya sejak tahun 1996 lagi.
"Pemilihan mereka untuk majlis ini dilakukan di laman web rasmi saya iaitu sitizone.com dan seramai 200 orang telah menyatakan persetujuan mereka untuk hadir pada majlis ini.
"Bukan mudah untuk mengumpulkan mereka untuk sama-sama memeriahkan majlis ini kerana masing-masing mempunyai komitmen di samping waktu dan masa yang tidak mengizinkan.
"Ini juga adalah kali pertama saya membuat rumah terbuka bersama peminat secara besar-besaran. Sebelum ini, memang ada dilakukan majlis bersama mereka tetapi hanya dalam majlis tertutup dan kecil-kecilan sahaja apabila saya memenangi anugerah dan sebagainya," katanya yang sempat mendendangkan lagu Nazam Lebaran bersama peminatnya.
Malah, Siti juga melahirkan rasa bertuahnya apabila suami tercinta memberikan sokongan penuh terhadap majlis yang dianjurkan oleh Siti Nurhaliza Productions itu.
"Pada awalnya, suami mencadangkan agar rumah terbuka ini dilakukan di rumah sahaja tetapi saya memikirkan tentang keselesaan. Jadi, apabila dilakukan di sini, masing-masing bebas dan boleh berkumpul bersama-sama," katanya lagi.
2 comments:
wahh..cam xcaye je kan dia mo blakon..huhu..pape pown..rezeki ade di mane2..bagus juga jika dia nk mbesarkn sayap nye..maybe slame ni...org igt..dia hnye pandai sing je...so..now...dia mo truskn karier lam bidang lakonan lak..bgus la tu..lgpown..ramai artis lam bidang sing ni yg berlakon kan??
membesarkan sayap...wakakakkakakkakak
Post a Comment