Sejuta Cinta

04 November 2008


Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: “Saya malu dan semua pihak yang terbabit dalam urusan perkahwinan kami juga malu berikutan kenyataan bonda (Afida Es) seperti disiarkan Metro Ahad, semalam.

“Namun, saya dan keluarga tidak menyalahkan bonda kerana sebelum ini, perkara sebenar tidak pernah kami ceritakan kepadanya.

“Malah, kenyataannya yang mendakwa saya menipu suami (Aziz M Osman) juga tidak benar kerana sebelum berkahwin dengannya, Aziz yang dikenali ketika mengerjakan umrah dari 9 hingga 20 Mac lalu, mengetahui keadaan sebenar saya dengan suami terdahulu,” kata Nor Radhiah Ramli, 22, dalam pertemuan eksklusif dengan Harian Metro, semalam.

Nor Radhiah mengakui, sebelum berkahwin dengan Aziz, dia pernah melakukan kesilapan apabila bernikah dengan seorang lelaki berusia 28 tahun di Pengkalan Kubur, Kelantan. Pernikahan yang dijalankan jurunikah tidak diiktiraf itu dilakukan secara wali hakim tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Katanya, dia berkahwin dengan suami terdahulu pada 4 April 2008 dan menerima surat daripada Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu bertarikh 28 Julai 2008 yang mengesahkan perkahwinan itu tidak sah mengikut hukum syarak kerana jurunikah terbabit melaksanakan akad nikah itu di luar bidang kuasa istikhlaf, iaitu bukan dalam wilayah Narathiwat, Thailand, sebaliknya di Pengkalan Kubur.

“Justeru, tidak timbul isu edah kerana perkahwinan saya dengan suami terdahulu tidak sah mengikut hukum syarak. Namun, selepas dirujuk kepada seorang peguam syarie di sini, kedudukan saya ketika berkahwin dengan Aziz adalah istibrak, iaitu perkahwinan kami sah, namun saya tidak boleh bersekedudukan dengannya selama dua kali suci iaitu selama dua bulan selepas disahkan mahkamah perkahwinan terdahulu tidak sah.

“Saya hairan dengan kenyataan bonda konon pernikahan saya dengan Aziz tidak sah dan sudah dirujuk kepada mahkamah, namun kenapa surat menyatakan perkahwinan kami tidak sah itu tidak dikeluarkan.

“Saya kecewa dengan kenyataan itu kerana dibuat tanpa berbincang terlebih dulu dengan saya dan keluarga. Disebabkan kenyataan itu, kami sekeluarga terpaksa menanggung malu dan individu yang terbabit turut mempersoalkan kenyataan itu,” katanya.

Menurutnya, selepas menyambut 1 Syawal bersama Aziz di Kuala Lumpur sebelum pulang ke kampung pada hari raya kedua, dia tidak lagi bertemu suaminya. Malah, setiap kali menghubunginya, Aziz tidak pernah menjawab telefon selain SMS dihantar juga tidak dibalas.

“Saya hairan dengan tindakan Aziz kerana dia seperti mahu menggantung saya tanpa tali dan cuba melarikan diri daripada masalah itu. Malah, sepanjang konflik itu, dia tidak pernah mahu bersemuka dengan saya bagi menyelesaikan masalah itu secara baik.

“Sepanjang tempoh itu, saya cuba memujuknya dan meminta penjelasan, namun dia hanya berdiam diri seperti sudah tawar hati dengan saya,” katanya.

Nor Radhiah berharap kenyataan ini dapat memulihkan kembali hubungannya dengan Aziz selain kekeliruan seperti dilaporkan Metro Ahad semalam dapat diperbetulkan.

“Saya sudah letih menjawab soalan diajukan sanak-saudara dan rakan berhubung kenyataan bonda yang mendakwa saya bernikah ketika masih dalam edah selain menipu Aziz hingga membuatkan orang ramai menghukum saya seperti seorang ustazah yang jahil.

“Walaupun kami orang miskin, kami masih mempunyai maruah dan harga diri. Malah, kami tidak jahil mengenai ilmu agama kerana jika mereka tahu saya masih dalam edah, keluarga sudah pasti melarang perkahwinan itu, malah saya sendiri yang mengetahuinya juga tidak akan berkahwin,” katanya.

Nor Radhiah berkata, semua itu berlaku kerana kesilapan mereka berdua terlalu gopoh mahu mendirikan rumah tangga tanpa berfikir panjang dan tidak menerangkan masalah sebenar yang dihadapi sebelum ini kepada ibu Aziz.

“Selepas laporan itu disiarkan akhbar semalam, Aziz menghantar SMS kepada saya dan memberitahu dia tidak pernah menuduh saya penipu seperti dilaporkan akhbar.

“Tetapi mungkin itu yang disangka bonda hingga dia memberi kenyataan berkenaan kepada media, namun sekali lagi, saya jelaskan kami sekeluarga tidak menyalahkan bonda, malah masih menyayangi bonda seperti ibu saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, abang Nor Radhiah, Mohd Radhi Ramli, 27, berkata kenyataan balas dikeluarkan adiknya itu bukan bermaksud untuk bermusuhan dengan keluarga Aziz, tetapi bagi membetulkan keadaan dan tohmahan orang ramai kepada keluarganya.

“Kami berharap Aziz dapat bekerjasama untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah itu dengan cara baik dan menghuraikan segala perselisihan faham itu.

“Kami sudah menganggap Aziz dan keluarga seperti sebahagian keluarga kami. Walaupun malu dengan kenyataan itu, kami sekeluarga tidak akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.


No comments:

Blog Archive

 

©2009 Welcome To My Life | by TNB