Sejuta Cinta

01 December 2008

Kes Cerai Bell Ngasri: Farah Putri Rasa Tertipu


JIKA tidak kerana dikaitkan sebagai orang ketiga yang menjadi punca perceraian pelakon Nasrizal Ngasri atau Bell dengan isterinya Nur Farhana Mahamad Fauri, pasti khalayak tidak menyedari kewujudan pelakon baru bernama Farah Putri Mulyani Jasman Nada.


Mungkin ada yang masih ingat, gadis kacukan Indonesia di sebelah bapa dan Cina di sebelah ibu itu merupakan pelakon drama bersiri popular Misi XX Ray. Menerusi drama arahan Aziz M. Osman itu, Farah memegang watak Eyza, kekasih kepada Amir, lakonan Syed Aiman. Dia juga pernah membintangi drama bersiri Kawan.


Ekoran kenyataan Farah dalam majalah HAI serta akhbar Kosmo, ada beberapa pihak menuding jari kononnya dia sengaja menangguk di air keruh atas keretakan rumah tangga orang lain.


Cakap-cakap sinis orang sekeliling membuatkan pelakon baru itu tidak senang duduk. Dia merasakan kenyataan jujurnya telah disalah ertikan. Untuk itu, Farah Putri yang sedang menjalani penggambaran drama bersiri 26 episod berjudul Katsarin di Jitra, Kedah, menjawab panggilan Pancaindera bagi menegakkan kebenaran.


Apa sebenarnya hubungan Farah dengan Bell?


Dah tak ada apa-apa dah, setelah saya tahu perkara sebenar. Sebelum ini, kami berkawan baik. Apa yang telah berlaku adalah salah faham yang besar. Ada kesilapan, apabila dia tidak menjelaskan status sebenar dirinya sebelum ini. Benda dah terjadi. Saya dah boleh bertenang sekarang. Saya tampil ke depan hanya untuk menceritakan keadaan sebenar. Niat saya yang utama hanyalah untuk menegakkan kebenaran agar orang sekeliling tidak berterusan menuding jari kepada saya, kononnya sebagai punca kemelut rumah tangga Bell.


Saya cuba menegakkan kebenaran dengan niat membersihkan nama tetapi telah menimbulkan masalah lain. Yang saya kesalkan, ada artikel yang telah tersiar sebelum ini macam ditokok tambah dan berbaur provokasi. Tetapi saya tak kisahlah sebab benda dah terjadi. Saya tidak bermaksud untuk memalukan Bell dan keluarga.


Maknanya dulu rapatlah dengan Bell?


Tak adalah rapat sangat. Cuma kenal baik sebab sama-sama digandingkan dalam sebuah drama untuk tayangan Hari Raya. Sepatutnya drama itu disiarkan pada Hari Raya Aidilfitri yang lepas, tetapi tak jadi pula. Mungkin raya tahun depan agaknya.


Farah dikatakan menyamai Memey Suhaiza kerana dikaitkan dengan suami orang. Apa komen Farah?


Saya percaya , apa yang saya katakan ini akan membuatkan orang ramai faham maksud yang tersirat. Janganlah samakan saya dengan sesiapa pun. Bila dah terkena, inilah pengajaran akibat terlalu cepat percayakan orang lain. Tak bolehlah nak salahkan perempuan sahaja. Kena ambil kira sebelah pihak lagi.


Hati dan perasaan Farah telah dipermainkan?


Saya rasa tertipu dengan apa yang pernah diperkatakan Bell. Itu dululah. Tetapi, benda dah lepas. Saya tak mahu ingat-ingat lagi. Sekarang, saya tidak lagi berkawan rapat dengannya.


Peristiwa ini sedikit sebanyak buat nama Farah dikenali. Benarkah begitu?


Saya tak boleh nafikan benda ini buat orang ramai sedar akan kewujudan saya. Tetapi demi Allah, saya tak suka orang ramai mengenali saya dengan cara sebegini. Kalau saya jenis yang suka mencari publisiti murahan, dah lama saya lakukannya sejak tiga tahun lalu semasa mula berjinak-jinak dalam lakonan. Ini bukan niat saya untuk mencari glamor. Ini bukan benda main-main atau rekaan hanya untuk meraih populariti.


Kalau ada lagi rasa sakit hati?


Saya kena kuatkan diri. Kalau fikir sangat, sakit hati itu akan datang. Industri seni ini kecil saja. Bila ada masa terluang, saya akan sibukkan diri dengan membaca buku atau petik gitar. Saya cuba lawan daripada terus memikirkannya.


Kalau kita ikhlas nak berkawan dengan seseorang itu, tidak semestinya orang itu benar-benar ikhlas dengan kita. Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati. Saya tak mahu orang lain cepat membuat hukuman dan menuduh saya yang bukan-bukan.


Farah nampaknya berani mendepani kemelut ini?


Ya, saya berani kerana benar. Saya cuma mahu buat satu tindakan yang saya fikir betul. Saya tak mahu jadi artis yang hipokrit. Kena beranilah, buat apa nak takut mempertahankan diri sendiri. Saya tahu orang ramai akan fikir negatif tetapi bila ada yang bertanya, saya akan jelaskan apa yang sebenarnya telah berlaku.


Selepas ini adakah serik berkawan dengan lelaki?


Saya tak serik. Saya punya hati yang besar. Saya percaya kalau kita buat baik akan terima balasan yang baik juga. Saya ini peramah, suka berbuat baik dengan semua orang. Saya harap selepas ini saya tidak akan terkena masalah sebesar ini lagi. Mungkin selepas ini, jika ada lelaki yang mahu rapat dengan saya, lelaki itu kenalah berusaha keras kerana selepas apa yang telah berlaku, saya menjadi wanita matang yang amat berhati-hati.


Adakah periuk nasi Farah terjejas?


Sebelum ini, saya tak pernah langsung berdepan dengan gosip sebesar ini. Memang karier seni saya baru nak berkembang. Tetapi, saya rasa ia tidak menjejaskan periuk nasi. Rezeki di tangan Tuhan. Saya hanya cuba buat benda yang benar.


Apa kata keluarga?


Pada mulanya, mereka sibuk bertanya apa masalah saya dengan Bell? Betul ke saya ada hubungan dengan Bell? Kata mereka, jangan nak main-main dengan suami orang.


Mula-mula, payah jugalah nak jelaskan. Bila ada kenyataan saya tersiar, saya biarkan keluarga membacanya dan cuba memahami apa yang sebenarnya telah berlaku. Alhamdulillah, keluarga faham situasi yang saya alami. Mereka percaya saya dan mereka yakin saya boleh menjaga diri dengan baik.



Sumber Utusan Malaysia Online






No comments:

Blog Archive

 

©2009 Welcome To My Life | by TNB