Baru kemarin jadi frontpage dah kena serbu ni. nilah yang di katakan rezki. kalaulah gerai mcm ni ada kat kl....bestnya hidupku...
Kedai Makan RM2 di Kuala Kedah di sini yang kisahnya disiarkan di muka depan Utusan Malaysia hari ini, diserbu pelanggan sehingga kehabisan lauk sebelum waktu makan tengah hari.
Pelanggan yang berkunjung ke kedai makan tersebut juga hampa apabila mendapati lauk-pauk yang dijual di kedai itu habis dijual sebelum pukul 1 petang.
Pemiliknya, Khalid Ahmad, 41, berkata, setelah kisah mengenai kedainya disiarkan hari ini, jumlah pengunjung yang datang bertambah ramai.
Khalid memberitahu, dia tidak menyangka sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan dan lauk pauk habis dijual dalam tempoh sejam sahaja.
"Isteri saya yang bertugas di bahagian dapur tidak henti-henti memasak sejak dari pagi tadi kerana pengunjung tidak putus-putus datang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selain menjual nasi dengan beraneka jenis lauk, Khalid turut menjual laksa, bihun sup, mi sup dan kuetiau sup yang kesemuanya pada harga RM2.
Menurut Khalid, dia akan meningkatkan kuantiti barangan mentah untuk dimasak pada masa depan bagi menampung permintaan pelanggan yang ramai.
Seorang pengunjung dari Sungai Petani yang mahu ke Langkawi, Yusnizawati Md. Yusuf, 25, berkata, dia terkilan kerana lauk-pauk yang dijual di kedai itu habis dijual sebelum pukul 1 petang.
"Saya ada terbaca kisah mengenai kedai ini di akhbar Utusan Malaysia dan ingin mencubanya hari ini tetapi malangnya lauk-pauk sudah habis,'' katanya.
Menurut Yusnizawati, dia akan cuba sekali lagi untuk menikmati makanan di kedai tersebut apabila pulang dari Langkawi nanti.
Seorang pelanggan setia kedai itu, Paridah Omar, 27, juga terkejut apabila datang ke kedai milik Khalid hari ini dan mendapati lauk pauknya sudah habis.
"Sebelum ini, sewaktu datang waktu makan tengah hari, lauk-pauk yang ada di kedai ini masih banyak. Tidak sangka pula apabila kisahnya tersiar di akhbar, lauk habis dalam waktu yang singkat," katanya.
[ ... ]